News - Posted at

Feb 18,2016

PTPTN tawar PPK kepada peminjam

Categories

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan Program Pengurusan Kredit (PPK) kepada peminjam bagi membayar balik hutang pembiayaan pinjaman pendidikan.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, program tersebut dilaksana dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mereka yang mempunyai banyak komitmen bayaran bulanan seperti rumah, kereta, peribadi dan sebagainya.

“PPK satu program baharu untuk membantu peminjam PTPTN melangsaikan hutang mereka mengikut kemampuan pembayaran.

“Langkah ini dilaksanakan bagi mengelakkan peminjam dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman oleh pihak berkuasa,” katanya ketika menandatangani Perjanjian Persefahaman antara PTPTN dan AKPK, semalam.

Beliau berkata, tindakan tegas PTPTN dalam pembayaran balik hutang pendidikan untuk bagi menambah kutipan dan mengatasi masalah keberhutangan serius.

Pihaknya berharap pembayaran tersebut mampu menampung permintaan 200,000 permohonan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta setiap tahun menelan belanja.

“Secara purata, PTPTN memerlukan dana sebanyak RM5 bilion setahun untuk tujuan pembiayaan pendidikan pelajar baharu.

“Kutipan bayaran balik adalah elemen penting dalam meneruskan kelangsungan kewangan PTPTN agar dapat dinikmati generasi seterusnya,” katanya.

Program tersebut bermula hari ini (16 Februari) dan PTPTN menyasarkan 5 peratus peminjam tegar daripada 1.3 bilion peminjam sedia ada dapat menyertai PPK.

Jumlah tersebut meliputi 662,000 peminjam bernilai RM5.4 bilion boleh menampung 800,000 pelajar baharu di IPT.

“Faktor utama adalah sikap graduan ingkar dengan pembayaran balik pembiayaan ini walaupun PTPTN telah menawarkan pelbagai kaedah pembayaran.

“Peminjam dinasihatkan agar tidak melarikan diri daripada membayar hutang sebaliknya mengunjungi mana-mana pusat PTPTN untuk menyertai PPK bagi penstrukturan semula hutang dengan koloborasi bersama AKPK,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2015, PTPTN meluluskan lebih 2.4 juta pembiayaan melibatkan peruntukan sebanyak RM5.5 bilion.